fb fb fb fb fb

PGA Sarawak rampas barang seludup bernilai RM3.05 juta

FOTO PGA SARAWAK

KUCHING, 24 Mac- Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak mencatat kejayaan besar dengan rampasan bernilai RM3.05 juta menerusi empat operasi bawah Op Taring Alpha dan Op Taring Awas/Batas yang dijalankan baru-baru ini.

Komander Briged Sarawak PGA, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Dr. Che Ghazali Che Awang memaklumkan operasi di Miri berjaya merampas 770,000 batang rokok putih dan 161,600 batang rokok kretek pelbagai jenama.

Selain itu, sebanyak enam tan beras putih disita di Lundu, manakala di Engkilili, pihak berkuasa merampas tujuh ekor ayam sabung serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian. Operasi di Lubok Antu pula menyaksikan rampasan 152 kilogram produk makanan sejuk beku.

Seramai 15 individu, termasuk dua warga asing berusia antara 22 hingga 78 tahun, ditahan, sementara lima kenderaan pelbagai jenis turut disita.

"Sejak pelaksanaan Op Taring bermula 1 Januari hingga 24 Mac 2025, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan kejayaan rampasan keseluruhan bernilai RM202.2 juta melibatkan 84 kes," katanya dalam satu kenyataan.

 

2403 PGA RAMPASANFOTO PGA SARAWAK

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE