fb fb fb fb fb

Kes bunuh pekerja restoran: 8 suspek ditahan, motif dendam

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (kanan) pada sidang media hari ini / BERNAMA

GEORGE TOWN, 24 Mac- Lapan individu ditahan, termasuk warga tempatan dan asing, bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja restoran di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor, pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada dendam antara mangsa dan keluarganya.

"Kes ini berkaitan antara si mati dan keluarganya. Motif lebih cenderung ke arah dendam antara kedua-dua pihak. Siasatan masih dijalankan dan dalam penelitian untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurut beliau, semua suspek yang ditahan sedang disoal siasat bagi mengenal pasti dalang utama kejadian. Polis juga sedang giat memburu beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 3.20 pagi itu, seorang pekerja restoran nasi kandar warga Myanmar maut akibat ditetak di kepala, lengan, dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Anuar Abdul Rahman, memaklumkan bahawa mangsa diserang empat lelaki bersenjatakan parang sebelum melarikan diri.

Polis kini giat mengumpul bukti dan mengesan saki-baki suspek yang masih bebas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE