GEORGE TOWN, 16 Mei- Modus operandi seorang lelaki yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah terbongkar selepas suspek ditahan dalam satu serbuan di Butterworth, semalam.
Melalui serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah unit pangsapuri yang dijadikan tempat memproses dan menyimpan dadah telah menemukan lebih 12 kilogram serbuk MDMA.
Turut dirampas, 15 peket serbuk ketamin, 50 keping aluminium foil berisi pil Erimin 5, tiga peket pil ekstasi serta peralatan memproses dadah.
Polis juga menyita sebuah kereta, pelbagai barangan kemas dan wang tunai.
Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM2.3 juta.
"Suspek telah menggunakan perkhidmatan syarikat kurier untuk mengedar dadah-dadah yang dikumpulkannya. Kita berjaya mengesan dan menangkap suspek berdasarkan modus operandi yang dikenal pasti.
"Tangkapan dilakukan hasil risikan terhadap pergerakannya. Dadah itu dibungkus dengan kemas dan diisytiharkan sebagai barangan berharga untuk dihantar ke pelbagai alamat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang.
Suspek kini direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah turut memaklumkan lelaki tempatan yang maut berbalas tembakan dengan pihak polis di Lintang Bukit Jambul, semalam merupakan ketua geng samun di negeri tersebut.
Ini turut membabitkan kes pecah rumah dan dobi layan diri.
Menurutnya, ahli kumpulan yang diberkas susulan kes tembak itu juga sedang diambil keterangan.
"Buat masa ini, kes ini telah selesai. Namun, kita sedang mengumpul dan mengesahkan keterangan ahli-ahli sindiket lain. Kita juga dalam proses mengenal pasti dan mengemas kini risikan yang boleh membawa kepada individu-individu lain yang terlibat.
"Suspek ini merupakan ketua kepada keseluruhan sindiket tersebut," katanya.