fb fb fb fb fb

Beri maklumat palsu kepada JPN, 6 lelaki didenda

Foto fail

KUALA LUMPUR,16 Mei - Enam lelaki didenda antara RM500 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini, selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertujuan permohanan pendaftaran kelahiran.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 56 hingga 71 tahun itu membuat pengakuan masing-masing di hadapan Majistret Amira Abd Aziz, S. Mageswary, Farah Nabiha Muhamad Dan, Illi Marisqa Khalizan, Aina Azahra Ariffin serta Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah menetapkan agar mereka menjalani hukuman penjara antara seminggu hingga tiga bulan sekiranya mereka tidak membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Robert Lewis Machado, Ng Sa Ngi, Muklisin, Thian Chong Wai, How Hang Gee dan Mohd Ghazali Ghani, didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran bagi enam bayi di beberapa kaunter JPN di sekitar ibu negara sejak 2004 hingga 2022.

Hukuman denda maksimum RM2,000 dan penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya diperuntukkan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Selain itu, seorang lagi tertuduh, S. Rejandran, 64 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,200 ringgit dengan seorang penjamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara, iaitu Mohamad Ezuan Jamaludin, Arief Khairee Khairuddin, Mazrul Azli Matrus dan Hairul Azlin Ahmad.

TETITIA YUSOFF