fb fb fb fb fb

Polis Perlis rampas 365kg syabu bernilai RM13.14 juta

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas - Foto ihsan polis

KANGAR, 2 Jun - Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan bersama 365 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM13.14 juta hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Waja di Padang Besar, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan kenderaan terbabit, polis menemui dadah berkenaan dalam 17 guni.

Menurutnya, modus operandi suspek dipercayai dengan menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar untuk dijadikan transit sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.

"Dadah ini dibawa masuk secara runcit,bermakna berperingkat dan dikumpulkan di satu tempat sebelum di bawa keluar dari Perlis. Ini bermakna terdapat pergerakan di kawasan hutan di sempadan Perlis yang digunakan oleh suspek dan rangkaian sindiket untuk bawa masuk dadah ini melalui laluan haram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Perlis, hari ini. 

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan berkenaan dapat digunakan oleh kira-kira 3.6 juta penagih. 

Menurutnya, suspek juga didapati positif methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK