fb fb fb fb fb

Kes penipuan cabutan bertuah, 12 mangsa kerugian lebih RM259,000

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Polis menerima 12 laporan berhubung kes penipuan cabutan bertuah menggunakan pautan palsu skim simpanan sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Azli Mohd Noor berkata, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM259,000.

Beliau berkata, laporan terbaharu diterima melibatkan seorang guru wanita berusia 52 tahun yang kerugian RM5,499 selepas menekan pautan cabutan bertuah palsu yang diterima melalui laman sosial Facebook.

Mangsa, menyedari wang dalam dua akaun bank miliknya telah dikeluarkan tanpa kebenaran ketika membuat semakan dengan bank Ahad lalu.

Siasatan mendapati mangsa terpedaya dengan pautan berkenaan yang menyamar sebagai laman rasmi sebuah bank, lalu memasukkan maklumat perbankan peribadi sebelum akaunnya diceroboh. 

Menurutnya, kesemua kes telah dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai mesej atau pautan cabutan bertuah di media sosial yang meragukan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK