MELAKA, 1 Jun- Polis Melaka melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka menahan lima individu bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dalam usaha membanteras aktiviti samseng jalanan di sekitar negeri itu.
Ketua Polis Melaka Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan Operasi Bersepadu Samseng Jalanan secara besar-besaran di Lebuh SPA-Sungai Udang, di sini turut menahan seorang lagi individu bagi siasatan bawah Seksyen 108(f)(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamer nombor pendaftaran palsu.
"Dalam operasi berkenaan, sejumlah 161 buah kenderaan telah diperiksa. Manakala, sebanyak 174 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Selain itu, sejumlah 26 buah motosikal turut disita dan 14 individu lagi telah dibuat ujian saringan air kencing oleh pihak JSJN Melaka dan keputusannya adalah negatif," menurut hantaran di Facebook.
Operasi yang diadakan pada awal pagi itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat.
Ia melibatkan lima Pegawai Kanan Polis dan 36 Pegawai Rendah Polis dari JSPT serta turut dibantu Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka.
Pada masa sama orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta peraturan lalulintas yang telah ditetapkan.
"PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan lalu lintas.
"Operasi samseng jalanan secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa dan menjejaskan ketenteraman awam," tambah hantaran itu.