KEMAMAN, 1 Jun– Seorang pengusaha kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan sepupunya yang berusia 15 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, seorang wanita berusia 52 tahun yang memakai baju hijau, hadir di Mahkamah Majistret Kemaman kira-kira jam 8.30 pagi sebelum kes disebut di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai individu yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap mangsa didakwa mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap remaja berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan dan rumahnya di Jalan Tok Kapor, Batu 5, Binjai, Kemaman pada 22 Mei lalu kira-kira pukul 5.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan bahawa tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, mangsa yang dijaga tertuduh sejak pertengahan tahun lalu, mendakwa pernah dipukul beberapa kali sebelum ini dan akhirnya mengadu kepada ahli keluarganya yang tinggal di Kuantan, Pahang.
Dalam kejadian terakhir pada 22 Mei, mangsa mendakwa dia dipukul dengan getah paip kerana tidak mengikut arahan tertuduh.