fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia Pahang tahan VNT Kelas C, operasi tanpa permit sah

Foto Maritim Malaysia

KUANTAN, 3 Jun - Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki beroperasi tanpa permit sah telah ditahan, kira-kira 1.5 batu nautika ke tenggara Kuala Kuantan, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penahanan itu dibuat pasukan bot ronda Maritim Malaysia pukul 12.30 tengah hari, menerusi Op MAKMUR dan Op TIRIS.

Penahanan dibuat selepas vesel nelayan tempatan (VNT) tersebut dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika sedang berapung.

"Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 21 hingga 35 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati vesel terbabit disyaki tidak memiliki sebarang permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)," menurutnya menerusi satu kenyataan.

Kes akan disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Turut dirampas ialah peralatan menangkap ikan serta kira-kira 950 kilogram (kg) hasil laut. 

Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

TETITIA YUSOFF