fb fb fb fb fb

Dua lelaki dicekup leka proses 250 bungkus air ketum

250 bungkus ketum dirampas Pasukan Gerakan Am Kelantan/Foto Facebook PGA Bridged Tenggara

KOTA BAHRU, 3 Jun - Tindakan dua lelaki memproses air ketum di sebuah rumah di Kampung Padang Chenok, di Nilam Puri di sini terbongkar apabila diserbu anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.

Ketika serbuan dilakukan sekitar pukul 3.30 petang, kedua-dua suspek sedang leka menjalankan aktiviti memproses cecair ketum yang dipercayai untuk tujuan pengedaran.

"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui 165 kilogram daun ketum dan 250 bungkus air ketum yang telah diproses, selain beberapa peralatan digunakan untuk memproses bahan itu," menurut hantaran Briged Tenggara di Facebook hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua suspek ditahan di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Semua barang rampasan termasuk peralatan proses ketum telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

PGA turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran air ketum, khususnya di kawasan sempadan negeri.

GRACE AISYAH KEDAYAN