KOTA BHARU, 3 Jun - Cubaan seludup minyak petrol ke negara jiran gagal apabila 300 liter bahan api itu dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Pengkalan Kubor di sini pagi tadi.
Serbuan kira-kira pukul 8 pagi di Stor Pengkalan Haram Mek dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Briged Tenggara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan hasil risikan menerusi Op Taring Wawasan yang menyasarkan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.
“Hasil pemeriksaan menemui lima buah kereta di dalam stor tidak berkunci itu. Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 300 liter minyak petrol bernilai RM615 disimpan di dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai.
“Minyak petrol tersebut dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand,” menurut hantaran Facebook Briged Tenggara hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1967 dan semua barang rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan lanjut.
PGA memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.