fb fb fb fb fb

Polis pantau kegiatan seludup dadah dalam haiwan ternakan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 17 Julai - Polis Kelantan sedang menyiasat taktik terbaharu sindiket dadah yang dipercayai menyeludup bahan terlarang itu menggunakan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang dibawa masuk ke negara ini.

Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam ternakan terbabit yang tidak diberi makanan sepanjang tempoh dua minggu kuarantin di pusat ternakan berlesen bagi mengelakkan haiwan itu membuang najis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan itu dilakukan susulan maklumat awam berhubung taktik berkenaan.

1707 KLTN POLIS SOROK DADAH 1Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat - Foto Polis Kelantan

"Sepatutnya ternakan diberi makan dalam tempoh dua minggu kuarantin, tetapi polis dapat maklumat, pemilik ternakan sengaja tidak beri makan agar lembu tak mengeluarkan najis dan kita masih memantau kes ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memantau kegiatan berkenaan.

Datuk Mohd Yusoff berkata, selain pemantauan ke atas haiwan ternakan yang dibawa masuk secara sah, pihaknya juga beri tumpuan terhadap kemasukan haiwan ternakan secara haram melalui laluan air dan laluan 'tikus'.

Menurutnya, antara kawasan panas aktiviti penyeludupan ternakan yang dikesan adalah sekitar Pasir Mas hingga Tanah Merah.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK