fb fb fb fb fb

Mesin bitcoin, antara barang kes dilupus IPD Port Dickson

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin menunjukkan barang kes yang dilupuskan

PORT DICKSON, 17 Julai - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah melaksanakan pelupusan barang kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, barangan kes yang dilupuskan membabitkan 194 kertas siasatan dari tahun 2020 sehingga kini.

"Barang-barang kes ini adalah barang-barang yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, terutama rokok seludup melibatkan beribu-ribu kotak, serta rampasan mesin lombong bitcoin, minuman keras dan barangan elektrik yang terlibat dalam kes perjudian," katanya dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Peringkat IPD Port Dickson.

Antara barang kes yang dilupuskan ialah 9,178 karton rokok, 18 mesin lombong bitcoin, komputer riba, serta pelbagai peralatan elektronik.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kira-kira 400 pegawai dan anggota polis daripada IPD Port Dickson, serta Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersiap-siaga, menjelang Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Julai ini di Port Dickson.

Kesiapsiagaan dilakukan dalam pelbagai aspek, termasuk mengawal keselamatan dan lalu lintas berikutan penganjuran pelbagai program bersempena pemukiman tersebut.

MASNIZA AWANG KECHIK