fb fb fb fb fb

PGA rampas aluminium & mesin bernilai RM11.8 juta di Batu Gajah

Foto BERNAMA

BATU GAJAH, 17 Julai – Batalion Ketiga Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas jongkong aluminium dan pelbagai peralatan pemprosesan bernilai lebih RM11.8 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4, Pusing, di sini pada Rabu.

Premis berkenaan dikesan menjalankan aktiviti pemprosesan logam tanpa sebarang permit sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak, sekali gus melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Serbuan dilakukan hasil risikan dan kerjasama PGA Briged Utara bersama JAS Perak serta Majlis Daerah Batu Gajah.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Shamsul Baharin Aman, berkata rampasan melibatkan lebih 1,221 tan aluminium, selain pelbagai mesin, peralatan pemprosesan dan sebuah motor lori.

“Hasil rampasan melibatkan logam jenis aluminium dengan anggaran berat lebih kurang 1,221.3 tan.

"Selain itu, pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan termasuk sebuah motor lori turut dirampas.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM11,812,280,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Shamsul Baharin turut mendedahkan bahawa hasil siasatan mendapati kilang tersebut menjalankan aktiviti menyimpan, memproses dan mengeluarkan logam sejak tahun 2023, dengan menggunakan khidmat 10 pekerja warga asing.

Kes disiasat di bawah Seksyen Akta Peniaga Sekenhend 1946; Seksyen 18, 19, 34A, 34B dan 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Undang Undang Kecil, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD