ALOR SETAR, 17 Julai – Tujuh premis disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram diserbu dalam operasi khas melibatkan Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis hari ini.
Dalam serbuan berkenaan, terdapat premis yang memasang tiga lapisan pintu besi dan memainkan bunyi burung untuk menutup bunyi mesin bagi menyambunyikan kegiatan mereka.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kegiatan haram itu bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga amat berbahaya kerana membabitkan pengubahsuaian sistem elektrik secara tidak sah.
Beliau berkata di premis pertama, pihak berkuasa menemui sebanyak 80 buah mesin perlombongan bitcoin yang beroperasi secara serentak menggunakan tenaga tinggi.
Setiap mesin menggunakan kuasa seperti satu penghawa dingin 2.5 kuasa kuda dan kos elektrik dicuri bagi premis ini sahaja dianggarkan mencecah RM86,000 sebulan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai operasi berkenaan .
Katanya kerugian bagi ketujuh premis dalam serbuan operasi itu adalah dianggarkan RM273,679 sebulan.
Beliau turut menasihati pemilik premis agar lebih bertanggungjawab dan memastikan penyewa tidak menyalahgunakan bekalan elektrik secara haram.