PENDANG, 17 Julai - Polis berjaya menumpaskan "Geng Dika Bayu" yang dipercayai aktif mencuri kabel pencawang telekomunikasi di beberapa daerah di Kedah selepas menahan tujuh lelaki berusia 20-an, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Hassan, berkata tangkapan pertama dilakukan pada pukul 5.50 petang, 10 Julai lalu, melibatkan tiga lelaki di sebuah pencawang berhampiran Pokok Tai, Bukit Jenun.
"Modus operandi kumpulan terbabit yang kesemuanya terdiri daripada warga tempatan adalah dengan menyewa rumah inap dan menggunakan kereta sewa untuk melakukan aktiviti jenayah berkenaan," katanya.
Polis yakin dapat menyelesaikan 22 kes curi kabel pencawang telekomunikasi di Pendang sejak Januari hingga Rabu lalu.
Selain Pendang, suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah itu di Sik, Yan, Alor Setar, Sungai Petani dan Penaga, Pulau Pinang yang melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM145,000.
Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut sehingga 19 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.