fb fb fb fb fb

Polis serbu program hubungan sejenis di Kelantan, temui ratusan kondom

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 17 Julai – Polis menyerbu sebuah banglo di Jalan Kemumin di sini yang dipercayai menjadi lokasi pertemuan kumpulan gay melibatkan 20 lelaki tempatan pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan hasil risikan berhubung perancangan pertemuan tertutup kumpulan gay di negeri ini.

“Dia (mereka) sewa satu rumah banglo dan pada peringkat awal lebih 100 orang hadir untuk makan-makan. Bila makin malam, ramai yang pulang, dan semasa pasukan serbuan masuk hanya tinggal lebih 20 orang.

“Ketika serbuan, belum ada perhubungan sejenis berlaku, tetapi kita menemui banyak kondom dan ubat HIV dalam bilik-bilik di rumah tersebut,”katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Katanya, daripada 20 individu yang ditahan, tiga daripada mereka didakwa di mahkamah pada pertengahan bulan lalu selepas didapati memiliki video lucah hubungan sejenis dalam telefon bimbit.

Ketiga-tiga lelaki terbabit masing-masing berusia 20 hingga 30 tahun dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan lanjut mendapati semua lelaki terbabit yang mempunyai pekerjaan tetap mengaku terlibat dalam aktiviti homoseksual, malah ada yang disahkan positif HIV serta membawa ubat rawatan sendiri.

Mohd Yusoff berkata, siasatan turut mendedahkan terdapat penjawat awam yang menjadi pelanggan kepada salah seorang suspek.

Manakala program itu dianjurkan secara percuma dan hanya disebarkan dalam kalangan tertentu melalui media sosial.

Katanya, kes itu adalah yang pertama seumpamanya di negeri itu.

"Polis akan terus memantau pergerakan kumpulan gay itu kerana dikhuatiri menjadi aktif dan berani," tegasnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN