fb fb fb fb fb

Polis mohon bantuan Interpol, kaji siasatan kes Zayn Rayyan

Datuk Hussein Omar Khan

GOMBAK, 23 Disember- Polis memohon bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengkaji beberapa maklumat dan bahan bukti yang diperoleh dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Bantuan itu melibatkan maklumat yang diperoleh pasukan siasatan yang memerlukan maklumat lanjut daripada pangkalan data Interpol.

Pihaknya juga telah merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman Damansara Damai serta mengambil 248 sampel asid deoksiribonukleik.

"Kita ada minta bantuan dari Interpol dalam pangkalan data mereka sebab ada beberapa maklumat walaupun bukan konklusif tetapi yang boleh membantu siasatan. Kita pun ada sedikit maklumat yang pihak Interpol boleh semak dalam pangkalan mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD) Gombak.

Hussein berkata proses siasatan kes berkenaan memasuki fasa ketiga iaitu pasukan forensik memberi tumpuan kepada unit tertentu di blok tertentu apartment berkenaan.

Sepanjang siasatan pihaknya turut menahan 12 individu, bagaimanapun ia tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Siasatan masih dijalankan setiap hari di kawasan berkenaan, dan polis tidak akan berputus asa, meneruskan siasatan hingga pelakunya ditahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI