fb fb fb fb fb

Geng Rantau Fiesta etnik Rohingya tumpas

Dua pucuk pistol dan sebilah parang dirampas hasil pemeriksaan dalam kereta suspek

GOMBAK, 23 Disember- Polis berjaya menumpaskan Geng Rantau Fiesta etnik Rohingya yang aktif terlibat dalam lebih 50 kes samun dan pecah rumah selepas menembak mati tiga penjenayah warga Rohingya geng tersebut.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi sepasukan anggota polis terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan Selayang Jaya.

Pasukan peronda memintas dan mengarahkan kereta tersebut berhenti namun tidak mendapat kerjasama selain suspek bertindak agresif dan melepaskan tiga das tembakan ke arah polis.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek adalah etnik Rohingya berusia 30-an. Dua daripadanya Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri.

Tiga hingga empat orang ahli geng itu pernah ditangkap atas kesalahan samun dan pecah rumah dan dipenjara pada tahun 2016 dan 2017.

"Siasatan kami juga mendapati kumpulan ini aktif sejak 2011 di enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang dan bertanggungjawab terhadap 50 kes pecah rumah dan samun manakala 27 kes daripadanya dilakukan di Selangor.

"Kes di Selangor sahaja membabitkan kerugian kira-kira RM1.3 juta," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek mendapati dua pucuk pistol dan sebilah parang. Peralatan itu dipercayai digunakan geng tersebut yang sudah merancang untuk melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Pasar Borong Selayang dan Batu Caves.

Bagaimanapun polis mempergiatkan pemeriksaan di rumah suspek di Selayang dan Batu Caves untuk mendapatkan semula barang jenayah samun dan pecah rumah.

Penjenayah-penjenayah memilih lokasi yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk melakukan jenayah selain memakai topeng dan sarung tangan ketika melakukan rompakan bagi mengelakkan sebarang kesan dan jejak.

Kes sedang disiasat polis bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan dengan bersenjata.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI