AYER KEROH, 16 April – Polis Melaka sedang memburu sindiket curi kenderaan pacuan empat roda yang disyaki semakin berleluasa di negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, dianggarkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dilaporkan hilang setiap minggu berdasarkan laporan yang diterima.
Jelasnya, kebanyakan kejadian kecurian berkenaan berlaku di kawasan perumahan dan juga pusat membeli-belah.
“Setakat April ini, sebanyak 15 laporan kehilangan kenderaan pacuan empat roda telah diterima,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas bagi jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini.
Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan pacuan empat roda seperti Toyota Hilux dan Fortuner agar lebih berhati-hati dan meningkatkan langkah keselamatan.
“Kes kehilangan kenderaan pacuan empat roda ini memang berlaku hampir setiap minggu.
"Kenderaan tersebut dipercayai dibawa ke utara tanah air sebelum diseludup masuk ke Thailand. Terdapat permintaan tinggi dari negara jiran seperti Thailand, Laos dan negara-negara ketiga yang lain.
“Justeru, saya menasihatkan semua pemilik kenderaan 4x4 supaya lebih berhati-hati dan memastikan keselamatan kenderaan mereka terjamin,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sindiket terbabit.