fb fb fb fb fb

Pengurus kanan syarikat swasta rugi RM64,500 diperdaya sindiket tender tidak wujud

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 16 April- Seorang pengurus kanan sebuah syarikat swasta kerugian RM64,500 selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud.

Mangsa wanita berusia 42 tahun pada 17 Mac lalu dihubungi individu yang mengaku sebagai pegawai daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata, suspek menawarkan tender pemasangan langsir dan aksesori di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut dengan nilaian harga ditetapkan syarikat mangsa.

Bagaimanapun suspek menetapkan syarat supaya mangsa mendapatkan bekalan kain daripada syarikat pembekal dilantik pihaknya.

Mangsa kemudian berhubung dengan syarikat pembekal tersebut hanya melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

Tertarik dengan tawaran tersebut mangsa telah membuat dua kali pembayaran berjumlah RM64,500 ke akaun bank seperti diarahkan suspek.

Bagaimanapun setelah diperiksa dengan pihak berkaitan, mangsa mendapati tawaran tender berkenaan tidak wujud sebelum membuat laporan polis pada 12.51 tengah hari semalam. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI