LABUAN, 16 April- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan 11 warga asing dalam operasi penguatkuasaan, awal pagi tadi.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Mohd Shufandy Mohd Hashim yang mengetuai operasi itu memaklumkan kesemua yang ditangkap terdiri sembilan warganegara Filipina, serta dua warganegara Indonesia.
"Operasi bermula pukul 2.00 hingga 4.30 pagi di sekitar Labuan menahan individu-individu berumur lingkungan satu hingga 57 tahun, disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Kesemua tahanan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut," kata Mohd Shufandy.
Dalam pada itu Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai dalam kenyataan turut mengulangi komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin termasuk bawah Akta Passport 1966 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.