KOTA BHARU, 15 April- Seorang lelaki ditahan di Bachok selepas dipercayai memuat naik video berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman TikTok, tindakan yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan awam dan menghasut orang ramai memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di Pantai Irama, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Penguasa Polis (SUPT) Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, video berkenaan bukan sahaja mengandungi kata-kata kesat serta jolokan tidak senonoh terhadap Perdana Menteri, malah turut memuatkan tuduhan bahawa beliau akan menipu rakyat semasa majlis tersebut.
Bertindak atas laporan yang diterima pada 11 April, pihak polis menahan suspek dan merampas telefon bimbitnya untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan ke atas peranti suspek turut menemukan beberapa kandungan video dan gambar berunsur lucah.
Tertuduh mengaku bersalah bagi kesalahan itu dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Siasatan terhadap elemen lain yang berkaitan masih diteruskan sementara menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Polis turut mengingatkan orang ramai agar lebih beretika di media sosial, khususnya mengelakkan penyebaran kandungan berunsur provokasi atau menyentuh isu sensitif berkaitan Raja, Bangsa dan Agama (3R) yang boleh menggugat ketenteraman awam.