KULIM, 16 April- Sebuah syarikat kitar semula sisa plastik yang beroperasi di Taman Industri Makmur Kulim, Kedah didenda sebanyak RM60,000 atas dua kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman denda tersebut selepas Pengurus syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku salah di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, hari ini.
Bagi kesalahan pertama, syarikat telah didenda 50 ribu ringgit di Mahkamah Sesyen Kulim bagi kesalahan membina loji kitar semula sisa pepejal sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).
Kesalahan dilakukan pada 11 Julai 2023 adalah hasil daripada siasatan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah ke atas premis yang dimiliki oleh warga asing dari China.
Kesalahan beroperasi tanpa kelulusan EIA dituduh bawah Seksyen 34 A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dihukum bawah Seksyen 34 A (8) yang menetapkan hukuman denda (ketika itu) tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Manakala bagi kesalahan kedua, syarikat mengaku salah atas satu pertuduhan di bawah Peraturan 5(1)(b) PPKAS (Udara Bersih) 2014 iaitu gagal memberi Pemberitahuan Bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar dan didenda sebanyak RM10,000.
Pengurus Syarikat memohon agar diringankan hukuman kerana syarikat tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan perintah larangan beroperasi oleh Jabatan Alam Sekitar.
Bagaimanapun pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dalam hujahannya memohon hukuman yang setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada pengurus tersebut dan peringatan kepada semua pemain industri kitar semula supaya mematuhi keperluan Akta Alam Sekeliling 1974.
Syarikat kitar semula didenda RM60,000 ingkar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
