KULIM, 16 April – Sebuah syarikat kitar semula sisa plastik yang beroperasi di Taman Industri Makmur, Kulim, Kedah, didenda sebanyak RM60,000 atas dua kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas Pengurus syarikat, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya hari ini.
Bagi kesalahan pertama, syarikat dikenakan denda sebanyak RM50,000 atas kesalahan membina loji kitar semula sisa pepejal plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).
Kesalahan tersebut dilakukan pada 11 Julai 2023, hasil siasatan penguatkuasaan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah ke atas premis milik syarikat yang dimiliki oleh seorang warga asing dari China.
Kesalahan membina dan beroperasi tanpa kelulusan EIA dituduh di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dihukum di bawah Seksyen 34A(8), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua, syarikat mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, iaitu gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada JAS dan didenda sebanyak RM10,000.
Pihak pengurusan syarikat merayu agar hukuman diringankan dengan alasan syarikat sudah tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan perintah larangan operasi oleh Jabatan Alam Sekitar.
Namun begitu, Pegawai Pendakwa JAS Negeri Kedah memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada pengurus dan peringatan tegas kepada seluruh pemain industri kitar semula supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.