fb fb fb fb fb

Lebih ramai mangsa sumbang mahram tampil buat laporan- Polis Kelantan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat

KOTA BHARU, 16 April- Susulan pendedahan yang dibuat Polis Kelantan minggu lalu, semakin ramai mangsa jenayah seksual, termasuk kes sumbang mahram, tampil membuat laporan polis di negeri itu.

Antara kes terbaharu melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, selepas bapanya yang juga seorang pegawai polis menemui video berunsur lucah dalam telefon pintar milik anaknya. Siasatan lanjut membawa kepada laporan berkaitan hubungan tidak bermoral dengan seorang lelaki.

Dalam masa sama, dua lagi remaja perempuan masing-masing berusia 13 dan 14 tahun, turut membuat laporan mendakwa dirogol oleh bapa dan bapa saudara mereka dalam dua kejadian berasingan di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, semua laporan itu dibuat atas kesedaran mangsa sendiri, hasil pendedahan terbuka pihak polis yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Hasil kesedaran itu, bila kita dedah, masyarakat mula sedar. Ini bukan isu politik, saya nak bercakap pasal isu keselamatan," katannya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pendedahan itu tidak bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai satu usaha mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak serta persekitaran keluarga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE