fb fb fb fb fb

Polis Kelantan siasat cubaan seludup 450,000 pil yaba

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat

KOTA BHARU, 21 September -Polis Kelantan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa narkotik Thailand bagi mendapatkan maklumat cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai RM1.8 juta (13.5 juta baht) ke Malaysia melalui khidmat kurier, di Sai Thong, Sungai Golok, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya kini menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Thailand yang berkemungkinan ada lagi suspek yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

 "Ya kita tunggu maklumat dari pihak dia (Thailand) mungin ada terlepas dan sebagaianya, memang kita ada hubungan rapat dengan pihak narkotik sana untuk sama-sama cegah dadah dan saya lihat pihak dia pun bersungguh-sungguh dalam untuk menangani masalah penyeludupan dadah ke Malaysia," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
 
Mengulas lanjut beliau turut menggesa semua syarikat perkhidmatan kurier supaya lebih berwaspada terhadap barangan yang dihantar melalui premis mereka susulan beberapa kes penyeludupan dadah yang dikesan menggunakan perkhidmatan tersebut.
 
Mereka juga disarankan untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang bungkusan yang mencurigakan atau tidak mengikut prosedur biasa.
 
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan mengenai penghantaran dadah melalui sebuah syarikat kurier ke bandar sempadan itu.
 
Beliau berkata, pihaknya melakukan risikan sejak awal pagi bagi mengesan individu yang dijangka mengambil bungkusan berisi dadah itu.
 

TETITIA YUSOFF