KOTA BHARU, 21 September - Mudir sebuah pondok pengajian agama di Kelantan yang dikenali sebagai 'Abuya' berdepan enam lagi pertuduhan berkaitan kes jenayah seksual terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 46 tahun itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen selepas proses siasatan dan arahan pendakwaan selesai.
Setakat ini, individu berkenaan sudah dituduh dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas minggu lalu membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki dan pemilikan bahan lucah.
"Terbaharu, kita telah membuat tangkapan sekali lagi di Kelantan berikutan terdapat aduan baharu di lokasi yang sama.
"Insya-Allah, sebanyak enam lagi pertuduhan akan dikenakan terhadap individu tersebut selepas beberapa remaja tampil membuat laporan terhadap Ustaz Abuya yang dikatakan seorang ustaz berpengaruh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Selain itu, suspek turut berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin lalu atas kesalahan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Suspek dibebaskan dengan jaminan RM45,000 bagi tujuh pertuduhan di Kelantan dan RM18,000 untuk dua pertuduhan di Terengganu.
Polis tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang akan tampil membuat pendedahan kesalahan ustaz terbabit.
Siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.