fb fb fb fb fb

Polis Kelantan roboh 20 lagi pangkalan haram sebelum akhir bulan ini

Gambar hiasan

KOTA BHARU, 18 Disember - Polis Kelantan menjangkakan kira-kira 20 lagi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok Kelantan-Thailand akan dirobohkan sebelum akhir bulan ini.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak 25 pangkalan haram sudah dirobohkan sejak November lalu sehingga kini membabitkan daerah Tanah Merah dan Pasir Mas.

"Kita akan buat secara berterusan, kita jangka 20 pangkalan haram lagi sempat dirobohkan sehingga akhir bulan ini memandangkan masih berbaki dua minggu lagi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pemantauan pihaknya mendapati tiada cubaan dilakukan untuk membina semula jeti yang sudah dirobohkan setakat ini.
 
Bagaimanapun, pihaknya mengesan terdapat maklumat bocor sehingga rakit yang digunakan dan ditempatkan di sebelah Kelantan beralih ke sebelah Thailand.
 
Katanya, susulan penutupan sempadan menggunakan pangkalan haram sejak Disember 2024, penurunan kes jenayah rentas sempadan juga berkurangan.

"Sebelum penutupan pangkalan haram, mereka yang merentas sempadan menggunakan pangkalan haram adalah sehingga 500 orang sehari dengan deretan kereta di parkir sepanjang sempadan.

"Bagaimanapun, kini hanya 10 peratus saja masih berdegil menggunakan pangkalan haram," tambahnya.

 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI