JOHOR BAHRU, 18 Disember - Sebanyak 13.178 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.292 juta dirampas dalam dua operasi berasingan di Kulai dan Johor Bahru, Johor, bulan lalu.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata sindiket menggunakan khidmat penghantaran atau kurier untuk mengedar dadah melalui bungkusan pos.
Menurut Aminul Izmeer, serbuan pertama di sebuah apartmen di sini, 19 November lalu, menemui 135 gram dadah jenis bunga ganja diisytiharkan sebagai tuala peribadi.
Sementara itu, serbuan kedua di sebuah pusat kurier berhampiran Senai, Kulai, 26 November lalu, menemukan 13.043 (kg) dadah sama yang diisytiharkan sebagai kain langsir.
"Orang ramai digesa supaya membantu pihak kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain. Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat," katanya.
Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan terhadap seorang lelaki warga Filipina berumur 23 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.