fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa bunuh isteri

Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 18 Disember - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Khairul Rizuan Abdullah, 28, didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak, 44, di sebuah rumah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, kira-kira pada pukul 4 petang, 8 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari 2026 untuk laporan bedah siasat dan kimia.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari di kediaman mereka.

Siasatan dilakukan pihak polis mendapati perbuatan terbabit bermotifkan cemburu.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN