ALOR SETAR, 10 Oktober- Sebanyak 73 kertas siasatan tatatertib dibuka melibatkan 82 pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam Kontinjen Polis Kedah , bermula januari sehingga September lalu.
Daripada jumlah itu, 21 kes melibatkan kes jenayah, empat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, tujuh kes melibatkan dadah, tiga kes syariah dan 38 yang lain membabitkan kes tatatertib.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pada sidang Lembaga Tatatertib yang bersidang pada 17 September lalu telah membuat keputusan buang kerja ke atas lapan orang pegawai rendah polis.
"Beliau berkata, malah sehingga 8 Oktober lalu, 12 orang pegawai kanan dan anggota polis dibuang kerja, manakala 28 orang ditahan kerja dan 12 orang telah digantung kerja,"katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Datuk Fisol memaklumkan polis Kedah telah menahan 1,469 individu disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti perjudian haram di Kedah menerusi Op Dadu sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.
Ujarnya, penahanan itu adalah hasil 1,330 serbuan yang dijalankan melibatkan rampasan wang berjumlah RM277,641.
"Sejak Jun 2023 hingga penghujung September 2023, indeks jenayah negeri kedah telah menunjukkan penurunan sebanyak 11.96% atau 203 kes berbanding tempoh yang sama tahun 2022.
"Bagi tempoh kajian keseluruhan dari Januari hingga September 2023 pula, pencapaian Indeks Jenayah Kontinjen Kedah telah menunjukkan penurunan sebanyak 8.56% atau 307 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022,"katanya.
Datuk Fisol menjelaskan, polis Kedah akan meneruskan setiap operasi bagl memastikan kadar jenayah di negeri itu dapat diturunkan dan sekaligus mengelakkan "fear of crime" dalam kalangan masyarakat.