BALING, 10 Oktober- Empat lelaki dituduh di Mahkamah Majistret Baling hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di Kuala Ketil pada 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun kesemua tertuduh hanya mengangguk faham di hadapan Hakim Najwa Che Mat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka berikutan kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan itu, K. Tamilselvam, 25 tahun, C.Vickarran, 33 tahun, Sarim Omar, 33 tahun, dan S.Sureshkumar, 21 tahun , dituduh mencapai niat bersama melakukan bunuh ke atas S. Kanan, 71 tahun, di No 170, Lorong Bidara 4, Taman Desa Bidara, Kuala Ketil lebih kurang pukul 3 petang pada 1 Oktober lalu.
Sehubungan itu, empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya didapati bersalah.
Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan laporan kimia.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.