KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Sebanyak 898 individu ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long, sepanjang Januari hingga Ogos lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, angka tersebut hasil daripada 734 operasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Vulture.
Daripada jumlah itu, 146 kes telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.
"Kita juga bekerjasama dengan pihak berkuasa, bertindak menurunkan iklan-iklan pinjaman wang, meminta bantuan pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk memadam iklan pinjaman tidak berlesen di internet dan laman sosial.
"(Selain itu), mengesan Ah Long melalui pelbagai sumber termasuk nombor telefon yang tertera pada iklan.
"Polis juga menjalankan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi, SKMM untuk membantu mengesan lokasi suspek," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Dewan Rakyat di sini.
Shamsul berkata, kegiatan Ah Long masih berleluasa kerana masih terdapat permintaan daripada masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang.
Masyarakat ‘tertarik’ kerana tawaran Ah Long lebih mudah daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.
Tambah beliau, lebih 1,000 tangkapan direkodkan pada 2021 dan pada tahun lepas, jumlah kes adalah 1,009 melibatkan 1,262 tangkapan.