fb fb fb fb fb

Tikam isteri hingga mati bekas tentera didakwa 302 Kanun Keseksaan

(Bekas tentera Indera Zailan Mohamad Sani didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat/FOTO BERNAMA)

KANGAR, 11 Oktober - Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat pada 30 September lalu.

Indera Zailan Mohamad Sani, 38, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Munirah Abu Bakar, 31 tahun di kediaman mereka di Arau antara 10 malam pada 29 September hingga 6.45 pagi, 30 September lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta urusan lain berkaitan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, sekitar pukul 8.30 pagi dan diiringi beberapa anggota polis.

Pada 30 September lalu, bekas anggota tentera disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi kejadian dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu ketika mangsa sedang bersiap keluar bertugas.

Suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sebelum polis ke tempat kejadian.

Media Baharu