fb fb fb fb fb

Polis Johor serbu tujuh makmal mini, rampas 198.54kg dadah bernilai RM11.6 juta

Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas

JOHOR BAHRU, 1 Jun- Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas selepas Polis Johor menyerbu tujuh lokasi makmal mini di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Seri Alam, pada Rabu lalu.
 
Sejumlah 198.54 kilogram dadah pelbagai jenis dirampas melibatkan nilai keseluruhan RM11.6 juta, sekali gus muncul sebagai kejayaan rampasan terbesar kontinjen Johor tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seramai 14 orang ahli sindiket berusia antara 22 hingga 52 tahun, termasuk 12 warga asing berjaya ditahan.
 
Tiga daripada tangkapan positif dadah sementara lima warga asing juga merupakan orang dikehendaki di negara masing-masing melibatkan kes jenayah, dadah dan imigresen.
 
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Januari tahun ini dengan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit bagi tujuan pengedara ke luar negara.
 
"Di sini modus operandi sindiket, mereka menyewa pangsapuri dan rumah teres yang mempunyai kawalan keselamatan untuk dijadikan tempat untuk proses, membungkus dan kemudian menghantar barang-barang tersebut ke pasaran luar negara,"katanya.
 
Semua suspek direman sehingga 5 Jun bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
 
Polis turut menyita pelbagai barang seperti kenderaan, jam tangan, wang tunai ringgit Malaysia dan dollar Singapura serta barang kemas, bernilai keseluruhan kira-kira RM1.2 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE