fb fb fb fb fb

Bekas Datuk Bandar MBJB mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1.55 juta

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud diiring keluar pegawai SPRM ketika meninggalkan mahkamah

JOHOR BAHRU, 2 Jun- Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) didakwa di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah, berjumlah RM1.55 juta pada 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021. 

Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar MBJB, telah menerima rasuah bernilai RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu, dan proses dijalankan menerusi seorang pengantara.

Suapan itu diberikan sebagai upah bagi mendapatkan pelbagai projek, antaranya kerja mengatasi masalah tebing runtuh di belakang rumah Flat Sri Orkid, Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.

Selain, kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan dalam kawasan MBJB bagi tempoh 28 bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Natrah Fariha Rahmat, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan jaminan RM120,000 kepada tertuduh, dan kes disebut semula pada 3 Julai ini untuk penyerahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE