fb fb fb fb fb

Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari

Peguam Mahmud Abdul Jumaat

PETALING JAYA, 1 Jun- Mahkamah Majistret membenarkan reman selama tujuh hari kepada ibu bapa kanak kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin Zaim Ikhwan bermula hari ini.

Peguam Mahmud Abdul Jumaat berkata penahanan itu bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Penahanan tersebut berikutan hasil penemuan terbaharu pihak polis berhubung kes berkenaan.

Pasangan itu tiba diperkarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan polis pada pukul 8.50 pagi.

Keduanya dilihat memasuki mahkamah sekitar pukul 9 pagi diiringi sekumpulan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Jenayah (JSJ).

Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa terdahulu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak tersebut yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan pasangan suami isteri itu ditahan di Puncak Alam, Selangor, semalam.

"Lebih kurang pukul 10.05 pagi, bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah membuat tangkapan ke atas kedua ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Zaim Ikhwan.

"Kedua-duanya direman pada hari ini di Mahkamah Petaling Jaya dan dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun 2024, bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut,"menurut kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE