JOHOR BAHARU, 1 Jun- Seramai 99 warga asing dan seorang penjaga premis diberkas Jabatan Imigresen Malaysia,(JIM Johor), dalam operasi berasingan di Iskandar Puteri dan Tangkak, Johor, pada 29 dan 30 Mei lalu.
Pemangku Pengarah JIM Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, 20 warga asing dan seorang penjaga premis, lelaki tempatan, ditahan di Iskandar Puteri, Johor Bahru, hasil pemeriksaan ke atas 34 individu serta empat premis.
Manakala, 78 warga asing ditangkap di Tangkak, hasil pemeriksaan terhadap 295 individu dan empat premis.
Kesemua suspek yang berusia 19 hingga 53 tahun ditahan kerana tinggal lebih masa, tidak memiliki permit sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Sementara penjaga premis ditangkap kerana melindungi warga asing.
Lapan notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu terlibat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).