JOHOR BAHRU, 27 November - Polis Johor akan melupuskan lebih 300 kilogram (kg) dan 1,562.6 liter dadah bernilai RM5.43 juta yang dirampas dari tahun 2000 sehingga 2022.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua dadah tersebut akan dilupuskan dan dimusnahkan mengikut proses pelupusan barang yang telah ditetapkan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Pelupusan kali ini, sejumlah 3,214 kes diselesaikan, maksudnya jumlah dadah yang kita lupus ini adalah berkaitan dengan kes-kes yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.
Tambah Kamarul Zaman, antara dadah yang dilupuskan ialah heroin sebanyak 19.42kg, kanabis (28.38kg), ketamin (15.04kg) dan daun ketum (236.43kg).
Sementara itu Kamarul Zaman berkata pihaknya turut melupuskan lebih 300 kilogram (kg) dan 600 liter dadah bernilai RM6.11 juta, tahun lalu.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, 15,167 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.