fb fb fb fb fb

Dua rumah urut diserbu, 36 warga asing ditahan

Foto FB JIM Johor

JOHOR BAHRU, 27 November - 36 warga asing berusia 21 hingga 60 tahun ditahan di dua buah pusat membeli belah, di sini pada pukul 1:30 tengah hari pada Ahad, dipercayai bekerja di premis pusat urut tanpa permit yang sah.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata suspek terdiri daripada dua lelaki dan 15 wanita warga Thailand, empat lelaki dan sepuluh wanita warga Indonesia serta empat wanita warga Vietnam.

"Siasatan mendapati kesemua warga asing menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas lawatan sementara mereka untuk bekerja di premis berkenaan. Penjaga premis berusia 55 tahun turut ditahan," katanya menerusi kenyataan.

Baharuddin berkata, serbuan turut merampas satu anak kunci premis, 15 helai tuala, 25 botol minyak dan dua buah telefon pintar.

Kes disiasat mengikut Seksyen Enam (1) (C) dan Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959 / 63 ( Akta 155 ), selain Peraturan 39 (b) Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Tambah Baharuddin, penjaga premis warga tempatan pula disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (D) Akta Imigresen 1959 / 63 kerana melindungi warga asing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN