fb fb fb fb fb

Lima ahli ‘Geng Mat Mata’ curi kenderaan diberkas

Antara bahan kes yang berjaya dikesan polis

KUANTAN, 27 November- Lima lelaki ahli 'Geng Mat Mata' yang mempunyai kaitan dengan kes curi kenderaan sejak bulan lalu di sekitar sini, Pahang, dicekup polis.

Lapan kes curi kereta, dua kes curi motokar dan satu kes curi kenderaan jenis van berjaya diselesaikan dengan tertumpasnya geng tersebut yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai 'Mat Mata', 33.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kelima-lima suspek merupakan penganggur berumur antara 22 hingga 33 tahun berasal dari daerah sini dan Pekan.

“Sekitar penghujung Oktober lalu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengesan trend kehilangan motosikal pada waktu malam yang diparkir dalam garaj rumah. Dalam tempoh sekitar dua minggu, sebanyak lapan laporan polis sudah diterima berkaitan kejadian tersebut.

“Hasil siasaan awal polis mendapati geng itu menggunakan van untuk mencuri motosikal terbabit dan jumlah kerugian untuk kehilangan kesemua lapan motosikal itu dianggarkan lebih kurang RM40,000,” katanya pada sidang media di IPD Kuantan di sini.

Hasil siasatan awal, polis mendapati geng tersebut menggunakan kenderaan jenis van untuk mencuri motosikal terbabit.

"Setiap motosikal yang dicuri itu kita dapati memang kunci ada pada motosikal. Motosikal dalam kawasan berpagar pula (suspek) angkat keluar, bawa naik van mereka," katanya.

Mengulas lanjut, hasil risikan dan perkongsian maklumat antara polis daerah Kuantan dan Pekan tangkapan telah dilakukan pada 22 November lalu.

Polis juga merampas sebuah van, sebuah kereta yang telah dibakar, sebuah motosikal dan masing-masing sebuah enjin dan rangka motosikal disyaki untuk dijual dan kegunaan sendiri.

Kesemua suspek mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan narkotik dan direman selama enam hari bermula 23 November lalu sehingga esok.

Permohonan sambung reman akan dilakukan untuk melengkapkan siasatan.

Kelima-lima suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi berkaitan kenderaan bermotor dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan berikutan membantu menyembunyikan harta curi berkaitan kenderaan bermotor.

Wan Mohd Zahari berkata, 'Mat Mata' pernah ditangkap polis pada Februari lalu atas kesalahan mencuri motosikal.

Dia telah dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan serta dikenakan pengawasan polis selama setahun di daerah Bachok, Kelantan bermula Oktober lalu hingga Oktober tahun hadapan, namun satu laporan polis dibuat berikutan melarikan diri daripada perintah pengawasan polis.

SITI AISHAH BINTI MD ISA