fb fb fb fb fb

Lelaki Nepal kelaparan larikan budak 3 tahun, acu pisau

Suspek mengendong mangsa berusia tiga tahun

GURUN, 27 November- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila cuba diculik seorang lelaki warga Nepal di Pekan Jeniang, Gurun, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi semalam di hadapan sebuah kedai makan ketika mangsa duduk bersendirian di atas motosikal.

Suspek, 26, telah mendukung mangsa kemudian mengacukan pisau di leher kanak-kanak tersebut.

Bapa mangsa yang menyedari kejadian itu bergegas mendapatkan anaknya yang masih dikendong suspek.

Kanak-kanak malang tersebut dipercayai dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan.

Namun dengan bantuan orang ramai mangsa berjaya dilepaskan dan suspek ditangkap.

Siasatan lanjut mendapati suspek yang memasuki negara ini sejak sebulan lalu telah melarikan diri daripada majikannya pada 8 November dan kelaparan kerana beberapa hari tidak makan.

Polis merampas sebilah pisau dan suspek dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk pemeriksaan lanjut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA