fb fb fb fb fb

Polis Johor lupus dadah bernilai hampir RM70 juta

Datuk M. Kumar

JOHOR BAHRU, 10 Oktober- Polis Johor melupuskan 989.21 kilogram dadah dan 7,479.9 liter cecair dadah, bernilai kira-kira RM68.88 juta.

Semua rampasan itu dilupuskan selepas kes disabitkan hukuman, dan selesai proses rayuan mahkamah.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata, dadah yang dilupuskan membabitkan 446.21 kilogram methamphetamine, 339.12 kilogram daun ketum, dan 53.36 kilogram heroin.

Manakala yang lain termasuk 19.86 kilogram kanabis dan 84.22 kilogram bahan-bahan lain dikategorikan dadah, serta 7,479.9 liter dadah jenis cecair.

"Selain daripada dadah-dadah ini pelbagai peralatan digunakan untuk memproses dadah tersebut juga dilupuskan. Melalui pelupusan hari ini Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah menyelesaikan 6,630 kes bagi tempoh 2000 hingga 2023," katanya kepada pemberita di sini.

Syarikat Kualiti Alam Sendirian Berhad dipertanggungjawabkan dalam proses pelupusan yang akan dibuat di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan, membabitkan kos RM73,000.

Untuk rekod, 322.13 kilogram dadah dan seribu 562.6 liter cecair dadah, bernilai RM5.43 juta dilupuskan tahun lalu.

Dalam pada itu seramai 19,726 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, sejak 1 Januari hingga semalam.

M. Kumar berkata, dalam tempoh sama, 5.48 tan dadah dirampas, melibatkan anggaran nilai RM58.35 juta.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor berharap masyarakat akan terus menjadi mata dan telinga polis dan menyalurkan maklumat. Jaminan pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya lagi.

Pada masa sama JSJN Johor sentiasa komited dalam memastikan pengedaran dan penagihan dadah di negeri itu, dibasmi hingga ke akar umbi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI