JOHOR BAHRU, 8 Oktober - Polis Johor bakal melupuskan sejumlah 651.8 kilogram dan 12,243 liter dadah pelbagai jenis, bernilai RM43.54 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk A.B Rahaman Arsad berkata pelupusan itu melibatkan 4,528 barang kes sejak tahun 2000 hingga 2024 yang selesai perbicaraan mahkamah.
Dadah yang dilupuskan terdiri daripada 57.81kg heroin, 17.1kg ganja, 94.39kg ketamin, 49.65kg methamphetamine,105.64kg methylenedioxymethamphetamine (MDMA),1.59kg nimetazepam, 325.38kg daun ketum, 5,120.92 liter air ketum,193.14 gram pil yaba, 456.1 gram cecair vape dan 6,666 liter cecair kimia.
Pelupusan bakal dilaksanakan di Telok Panglima Garang, Selangor dan diuruskan syarikat Sailcott Malaysia Sendirian Berhad.
"Syarikat ini juga mempunyai peralatan dan tempat yang khusus dalam melupus barangan berjadual seperti yang dikehendaki. Syarikat ini menggunakan fasiliti terbaru iaitu "scheduled waste to energy" atau insinerator yang menghasilkan tenaga baru, teratur dan bebas pencemaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Beberapa peralatan dan cecair kimia untuk memproses dadah beserta cecair rokok elektronik atau vape juga akan dilupuskan.