fb fb fb fb fb

4.76 tan minyak masak bersubsidi dirampas

Foto KPDN Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 8 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 4,760 kilogram (kg) minyak masak peket 1 kg bersubsidi yang dianggar bernilai hampir RM12,000, sekali gus berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi tersebut.

Pengarahnya, S. Jegan dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu hasil serbuan yang dijalankan pihaknya ke atas sebuah stor di sini, semalam.

"Pemeriksaan mengesan berlaku aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi itu ke dalam tong industri yang dipercayai bagi penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran.

"Hasil siasatan mendapati pemilik dan stor berkenaan telah beroperasi selama tiga bulan tanpa mengemukakan sebarang lesen atau permit yang sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja di premis itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Lebih 500 tong kosong dan peralatan aktiviti pemindahan terbabit serta sebuah lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM37,450 disita.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN