fb fb fb fb fb

Polis Johor berjaya tumpaskan 16 sindiket edar dadah

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 3 Januari- Polis Johor berjaya menumpaskan 16 sindiket pengedaran dadah, melibatkan 98 tangkapan di negeri ini, sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia sekali gus mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang ditetapkan dalam memerangi ancaman musuh nombor satu negara itu.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama juga 5.08 tan metrik dadah dengan nilai sebanyak RM35.83 juta dirampas serta menyita pelbagai aset sindiket dadah di bernilai RM16.6 juta.

"Seramai 16,598 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah di negeri ini dan ia merupakan pencapaian yang ketiga tertinggi di Malaysia.

"Bagi kes penagih berulang pula seramai 615 orang berjaya ditahan. Bagi Tindakan Langkah-Langkah Pencagahan Khas (LLPK) pula seramai 127 orang ditahan dan daripada jumlah itu 124 orang telah berjaya dikenakan perintah tahanan/sekatan/pengawasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kamarul untuk kadar pertuduhan kes, JSJN Johor berjaya tuduh sebanyak 5,728 kes manakala bagi kadar penyelesaian kes pula sebanyak 12,947 kes.

Beliau berkata, pihaknya memberikan fokus kepada kawasan hotspot seperti jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR) dan kawasan Felda bagi Op Tapis bermula Januari tahun lalu.

Katanya, seramai 1,478 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 191 kes bekalan, 293 kes memiliki dadah dan 994 penagih dadah menerusi Op Tapis tersebut.

Selain itu, turut ditahan dalam operasi berkenaan seramai 175 suspek yang berstatus orang dikendaki (wanted person).

JSJN Johor juga telah menyerbu sebanyak 1,423 kali pusat hiburan di seluruh negeri menerusi Op Pusat Hiburan dan seramai 15,243 orang telah diperiksa serta 1,105 telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

Tahun lalu, JSJN Johor turut menjalankan 62 operasi dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain antaranya ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ).

ZEHRA BINTI ZAMBRI