fb fb fb fb fb

Lelaki serang anggota JPJ telah didakwa

Tangkap layar kejadian tumbuk anggota JPJ Kedah di Jalan Tasik Darul Aman Jitra

ALOR SETAR, 3 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah memaklumkan lelaki yang mengasari anggota JPJ dalam kejadian pada 22 November lalu yang rakaman video kejadian tular semula telah didakwa dan disabit kesalahan serta dikenakan hukuman pada 27 November lepas.

Pengarah JPJ Kedah Aman Shah Hashim memaklumkan Mahkamah Majistret telah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan awal berkaitan video yang tular berdurasi satu minit 24 saat itu yang memaparkan kenderaan Nissan Vanette yang enggan berhenti semasa ditahan anggota JPJ untuk pemeriksaan.

"Hasil siasatan mendapati rakaman video itu berlaku pada 22 November lepas kira-kira pukul 4.04 petang di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra. Sebelum kejadian anggota bertugas sedang melakukan rondaan penguatkuasaan dan telah mengesan kenderaan yang mencurigakan.

"Pemeriksaan awal mendapati tiga kesalahan dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan.

Aman Shah berkata rentetan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota berkenaan dan lelaki berusia 24 tahun itu telah ditahan polis dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Seksyen 353 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun JPJ Kedah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa kesahihannya terlebih dahulu selain tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang ditetapkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI