fb fb fb fb fb

Polis gagalkan cubaan seludup 45 kg syabu di Westport

Sebanyak 45 kilogram methamphetamine ditemukan dalam ruangan khas sebuah kontena kargo, yang mampu memudaratkan sehingga 225,000 penagih

KLANG, 14 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan cubaan menyeludup dadah methamphetamine ke Australia bernilai RM1.44 juta.

Pemeriksaan Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di sebuah gudang di Westport, Pulau Indah menemukan 45 kilogram methamphetamine dalam ruangan khas sebuah kontena kargo, yang mampu memudaratkan sehingga 225,000 penagih .

Sindiket dari Asia Barat itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menghantar dadah ke Melbourne, Australia.

“Mereka gunakan ruangan khas dalam kontena. Barang yang diisytiharkan 'marble slab' memang ada, tetapi pada masa sama ada ruang tersembunyi dalam kontena untuk sorokkan dadah.

“Ada kapal dari Asia Barat singgah di Pelabuhan Klang, barang diturunkan dan dibawa ke kapal lain menuju Australia. Ia sekadar transit, tidak pernah dibawa keluar ke dalam Malaysia,” kata Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan pada
sidang media di Balai Polis Pelabuhan Klang, Selangor.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bersama Australian Federal Police, Dubai Police Anti Narcotics Unit dan rakan kerjasama antarabangsa lain bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat menggunakan khidmat kontena kargo untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE