KANGAR, 14 November -Cubaan menyeludup masuk lebih 91 kilogram (kg) dadah jenis kanabis gagal dalam dua operasi berasingan, di sekitar Kuala Perlis.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Ismail Hashim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM533,000.
Menerusi operasi pertama, berjaya merampas dua guni putih dan satu bungkusan plastik mencurigakan yang ditinggalkan di atas pokok bakau di sekitar Kawasan Pulau Ketam, Kuala Perlis.
Taktik meletakkan dadah di atas pokok merupakan modus operandi baharu penyeludup dan kes pertama di Perlis.
"Kita dapat maklumat dalam pukul 11.30 malam dan kita pergi ke situ dalam 12.30 malam. Pada 1.30 pagi, kita dapat kedudukan mereka. Maknanya dalam lebih kurang dua jam. Ini kes pertama kali kita dapat kes dadah atas pokok," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat JKDM Perlis.
Hasil pemeriksaan mendapati 39 ketulan mampat dan 12 bungkusan plastik lkedap udara disyaki berisi dadah jenis kanabis. Sebanyak 41.5 kg.
Manakala operasi kedua di sebuah jeti persendirian terbiar di tebing sungai Kuala Perlis, tiga guni berisi 50 ketulan mampat kanabis ditemukan dan dianggarkan bernilai kira-kita RM155,000.
"Sindiket itu dipercayai menggunakan taktik meninggalkan bungkusan di tempat sunyi untuk diambil oleh individu lain," katanya lagi.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.